Sunday, January 11, 2009

Hidup Sementara Menuju Hidup Abadi

Firman ALlah dalam al-Quran: "..Dan tidaklah Aku menjadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepada-Ku". Ayat ini menunjukkan bahawa manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepada ALlah. Ini harus difahami dan dihayati oleh setiap manusia. Saya menggunakan terma 'manusia' dan bukan hanya 'muslimin' kerana umat bukan Islam juga perlu memikirkan perkara ini agar mereka kembali kepada Islam.

Ibadah dari segi falsafahnya bermaksud menghambakan diri kepada ALlah. Tumpuan seseorang akan diberikan kepada perhambaannya. Dalam hal ini, seseorang perlu mengakui, sebanyak mana pun perhatiannya kepada kesibukan hidup-bekerja, berkeluarga, mengecap nikmat dunia-tumpuannya kepada perhambaan diri kepada ALlah. Betapa pun sibuknya seorang ibu menguruskan keluarga, ingatannya kepada menjaga solat-menunaikan solat pada waktunya dan menjaga kebajikan suaminya tetap dituntut. Bagaimanapun sibuknya seorang lelaki menguruskan perniagaannya, ingatannya bahawa dirinya adalah hamba kepada ALlah dan tertakluk dengan perintah beribadat dan mengasihi keluarganya.

Demikianlah hidup yang perlu dihayati-hidup bahagia dan bebas di dunia tanpa melupakan perintah wajib dan larangan yang ditetapkan.